TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) kehilangan dua lagi juruterbang apabila pesawat Pilatus PC-7 yang dipandu juruterbang pelatih dan jurulatihnya yang dalam penerbangan latihan terhempas di kawasan sawah padi di Kampung Titi Besi, Kepala Batas, Kedah, kelmarin.
Hingga kini 12 pesawat Pilatus buatan Switzerland itu terhempas sejak ia mula digunakan pada 1982 dan TUDM dipercayai mempunyai 44 pesawat itu di pangkalannya di Kepala Batas dan sembilan di Gong Kedak, Besut, Terengganu.
Boleh dikatakan semua kejadian itu berakhir dengan kematian dan pada masa sama bermakna kerajaan kerugian dari segi melatih juruterbang dan pesawat yang digunakan.
Jumlah itu belum lagi membabitkan pesawat lain dalam TUDM termasuk pesawat pejuang tercanggih MiG-29N dan helikopter Nuri.
Pesawat yang sudah menjangkau usia 22 tahun itu tidak sesuai lagi digunakan kerana sudah ketinggalan zaman tetapi ia masih digunakan sebagai asas penerbangan kepada juruterbang baru.
Ia mungkin akan digunakan untuk tempoh beberapa tahun lagi sehingga keputusan menggantikannya dengan pesawat baru dibuat.
Mengganti pesawat baru bukan kerja mudah kerana memerlukan belanja besar dari segi pembelian pesawat, alat ganti hingga ke penyelenggaraan.
Mengikut laporan akhbar, kemalangan membabitkan pesawat Pilatus PC-7 bukan asing sangat di Malaysia.
Kemalangan pertama berlaku pada Julai 1984 apabila ia terhempas di Kepala Batas. Mujur juruterbangnya selamat. Dua bulan kemudian, berlaku lagi dan malangnya juruterbang pesawat itu terkorban di kawasan sawah di Kampung Bukit Rambai, Pendang.
Kes lain berlaku pada 25 September 1990, 22 Oktober 1991, 29 Januari 1992, 31 Januari 1992, 12 Julai 1993 dan banyak lagi.
Selain sawah, lokasi lain insiden itu adalah di kawasan kampung, asrama Universiti Utara Malaysia (UUM) dan ladang getah.
Seperti biasa, kenyataan larangan terbang terhadap pesawat berkenaan akan dikeluarkan dan pesawat itu akan terbang semula di ruang udara selepas beberapa bulan kemudian dengan alasan masih selamat digunakan.
Hasil siasatan yang dijalankan biasanya menunjukkan kesilapan dilakukan pelatih.
Ini menunjukkan, ada sesuatu yang tidak kena dalam teknik dan teknologi melatih juruterbang dan berdasarkan deretan kejadian membabitkan pesawat yang sama, sudah pasti TUDM belajar sesuatu bagi mengelak kejadian sama terus berulang.
Jika benar kesilapan dilakukan pelatih ketika mengendalikan Pilatus PC-7 sehingga mengakibatkan mereka menemui ajal, apakah pihak yang bertanggungjawab melatih mereka masih tidak belajar daripada pengalaman yang lalu?
Nahas demi nahas berlaku tetapi teknik dan teknologi dalam latihan untuk misi menerjah ruang angkara kita nampaknya masih pada takuk lama.
Kita tidak mahu suatu hari nanti negara ketandusan tenaga muda yang sanggup menyertai Kolej Tentera Udara (KTU) akibat sering disajikan dengan berita nahas pesawat yang membimbangkan semua pihak.
Seperti diketahui mereka yang menyertai KTU adalah lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang. Kecerdasan mental dan fizikal mereka diuji. Malah, mereka sanggup melupakan hasrat untuk berada di universiti sebaliknya memilih kerjaya juruterbang TUDM. Jadi, kita harus melakukan sesuatu untuk mengelakkan kehilangan juruterbang muda berbakat tanpa sempat menikmati khidmat bakti mereka.
Wajarkah kita mengambil mudah dalam memberikan pendidikan yang terbaik kepada pelatih yang bakal berkhidmat sebagai juruterbang TUDM, sedangkan rakan seusia mereka di universiti sering menikmati dan melihat perubahan kecanggihan teknologi dengan kata lain agar mereka tidak ketinggalan zaman.
Kita tidak mampu untuk kehilangan juruterbang lagi kerana untuk melatih mereka sehingga ditauliahkan sayap bukan belanja yang kecil. Adalah sia-sia perbelanjaan yang dikeluarkan itu andainya kebanyakan mereka menemui ajal ketika dalam latihan.
Memang diakui teknik melatih yang dijalankan terhadap seorang juruterbang TUDM memang berbeza dengan juruterbang pesawat komersil tetapi semua itu bukan alasan untuk terus mengorbankan juruterbang tetapi kaedah baru yang lebih canggih dan selamat perlu dicari.
Di KTU Kepala Batas sudah pun ada peralatan simulator bagi melatih juruterbang baru dan sudah digunakan sejak November 2001 tetapi kemalangan masih berlaku.
Kaedah berkenaan boleh memahirkan lagi juruterbang baru sebelum menerbangkan pesawat sebenar.
Kini terpulang kepada kerajaan dan TUDM menggunakan pendekatan terbaik dalam menangani kejadian pesawat pelatih menjunam ke bumi bersama-sama pelatih dan jurulatih kerana ia merugikan semua pihak.
Kita tidak mampu lagi melihat dalam media massa jenazah juruterbang dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan hanya kerana terjatuh dari pesawat ketika latihan. Tetapi lebih bermakna jika mereka gugur di medan tempur.
ANTARA TRAGEDI PILATUS PC-7
- 16 Dis 2004: Seorang juruterbang pelatih, Leftenan Amnart Summok, 23, dan jurulatihnya, Mejar Alias Abu Bakar, 36, maut apabila pesawat Pilatus PC-7 terhempas di kawasan sawah di Kampung Titi Besi, Kepala Batas, Kedah.
- 27 Mei 2004: Seorang juruterbang pelatih pesawat Pilatus PC-7 terbunuh apabila pesawat itu terhempas di Kampung Padang Gelanggang, Sanglang, Kedah.
- 12 Ogos 2003: Pesawat Pilatus PC-7 yang dipandu Lt Mai Elny Sefrina Jalaluddin terhempas di Kampung Batu 25, Jalan Bukit Kayu Hitam-Changlun, Kedah, selepas berlepas dari pangkalan TUDM di Kepala Batas untuk latihan solo.
- 23 Februari 2003: Seorang jurulatih penerbangan dan pelatih TUDM terselamat apabila pesawat Pilatus PC-7 yang dinaiki mereka mendarat cemas di Pangkalan TUDM, Butterworth, Pulau Pinang.
- 12 April 2001: Seorang pelatih Kolej Tentera Udara (KTU) berpangkalan di kem TUDM Kepala Batas, Lt Muda Mohd Faizal Ismail, 22, terbunuh selepas pesawat Pilatus PC-7 yang dipandunya terhempas di tengah sawah di Kampung Kepala Parit Dalam, Tokai, Pendang, Kedah.
- 3 Januari 2001: Sebuah pesawat Pilatus PC-7 milik TUDM terhempas di perairan Timur Laut Kuantan dekat Gebeng, bagaimanapun juruterbangnya terselamat selepas menekan butang kerusi anjal.
- 12 Julai 1993: Seorang juruterbang pelatih terbunuh apabila pesawat Pilatus PC-7 terhempas di sawah di Kampung Chemumar, Tambun Tulang, Perlis.
- 31 Januari 1992: Pesawat Pilatus PC-7 terjunam dan terhempas ke dalam Sungai Kemaman, Terengganu, menyebabkan juruterbangnya mati.
- 22 Oktober 1991: Pesawat Pilatus PC-7 terhempas di Kampung Titi Besi, Kepala Batas, menyebabkan juruterbangnya terbunuh.